AFN V2

Fakulti Rasional Ibn Taimiyyah dan Paradoks dalam Trend Neo-Salafisme

User Rating: / 10
PoorBest 

Lewat 2000 tahun dahulu, antara dialog terawal Socrates yang berlaku dipanggil sebagai ‘Dilema Euthyphro’. Socrates menanyakan kepada Euthypro sama ada para dewa mencintai sesuatu maka ianya jadi baik atau ianya baik maka para dewa mencintainya[1]. Masalah itu berlegar antara sifat semulajadi etika dan moraliti. Ia memaksa kita menimbangkan sama ada sifat kebaikan adalah ditimbang dari akal atau berdasarkan kepada keperluan ontologi. Berikutan, pendirian yang diambil dalam soal ini menentukan peranan besar dalam konsep yang hendak diguna pakai dalam perundangan dan syariah.


Dalam sejarah pemikiran Islam, persoalan hubungan antara akal dan wahyu merupakan isu yang hangat diperdebatkan oleh mutakallimun (ahli kalam, ahli teologi) dan ahli falsafah[2]. Isu ini menjadi penting kerana ia memiliki keterkaitan dengan argumentasi- argumentasi mereka dalam pembahasan tentang konsep Tuhan, konsep Ilmu, konsep etika dan sebagainya. Mereka berorientasi pada usaha untuk menyesuaikan akal dan wahyu[3].

Dalam konteks ini konsep akal, wahyu dan ta’wil (interpretasi nas terhadap ayat yg tidak jelas, ayat mutasyabihat) menjadi konsep terpenting. Ahli falsafah Muslim yang terpenting dalam berusaha membuktikan hubungan antara akal dan wahyu adalah Ibn Rusyd lewat karya Fasl al- Maql dan Ibn Taimiyyah , penulis buku Dar’ Ta’arud al- ‘Aql wa al- naql. Pertama, cuba menjelaskan hubungan manakala kedua berusaha menghindarkan pertentangan atau mensharahkan kesesuaian. Kedua- duanya memiliki premis bahawa akal dan wahyu tidak memiliki pertentangan tetapi kerana situasi sosial dan latar belakang pemikiran berbeza[4] maka kesimpulan mereka tidak sama.

Mengapa kita memilih utk membicarakan tentang sosok Ibn Taimiyyah? Pertama, kerana ia selalu difahami sebagai pemikiran yang bermusuh dengan akal. Kedua, dari rahim pemikiran Ibn Taimiyyah telah lahir ramai tokoh reformis Islam antaranya Shaykh Waliyullah ad- Dahlawi, Muhamnmad Abduh, Rashid Ridha dan ramai lagi tokoh gerakan Islah selainnya.

Prinsip kesesuaian yang diasaskan Ibn Taimiyyah boleh dilihat kepada tajuk penulisannya yang mengandung kata Muwafaqaat (persepakatan) atau Dar Ta’arud (menghilangkan pertentangan). Meskipun perkataannya hampir sama maksud dengan al-Ittisal (hubungan) oleh Ibn Rusyd tetapi prinsip yang digunakan berbeza dalam memahami makna akal dan wahyu. Prinsip ini jelas kelihatan dalam komentarnya terhadap soalan ahli falsafah dan mutakallimun khususnya Fakhr ad- Din ar- Razi dalam soalnya, “bagaimana penyelesaiannya terjadi jika terjadi pertentangan antara akal dan wahyu”[5].

Dari semua perbahasan Ibn Taimiyyah, sekurang- kurangnya dapat dirangkumkan dalam tiga prinsip utama. Pertama, tradisional atau rasional tidak dapat menentukan kebenaran sesuatu. Bagi Ibn Taimiyyah, ada wahyu yang bersifat tradisional dalam perkara sam’iyyun (nas yg berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) dan ada yang bersifat rasional dalam menjelaskan sesuatu hal[6]. Kedua, jika terjadi pertentangan antara akal dan wahyu maka prioriti diberikan kepada wahyu[7].Prinsip ini maseh bersifat umum dan tidak termasuk pertentangan antara pengetahuan tradisional dan rasional. Ketiga, jika pertentangan terjadi antara akal dan wahyu harus disemak sama ada ia bersifat qat’ie (putus, tsabit) atau zhanni (tahap putus yg tidak capai qat'ie). Tidak mungkin terjadi pertentangan jika keduanya bersifat qat’ie. Jika keduanya bersifat zhanni maka ditimbang mana yang lebih pasti(rajih). Jika kesimpulan dihasilkan akal lebih pasti maka keutamaan diberikan kepada kesimpulan akal berbanding wahyu. Kesimpulan akal diutamakan bukan kerana ia berasal dari akal tetapi kerana sifatnya yang lebih tepat[8].

Secara umumnya Ibn Taimiyyah menolak keberadaan akal utk menentukan asas wahyu dengan alasan wahyu tidak dapat diketahui melainkan melalui Nabi SAW. Meskipun kebenaran wahyu dapat diketahui dengan akal, tetapi akal tidak dapat menetapkan duduk letaknya wahyu.

Biarpun demikian, Ibn Taimiyyah sama sekali tidak merendahkan makna akal jika akal difahami dalam a) naluri(gharizah) b) pengetahuan yang diperolehi dari akal. Sebagai gharizah, akal menjadi petunjuk bagi segala ilmu sama ada rasional ataupun tidak rasional, dan dalam keduudukannya sebagai syarat petunjuk, akal tidak sama sekali bertentangan dengan wahyu. Malah pengetahuan yang diperoleh dari gharizah tadi akal difahami sebagai pengetahuan akal yang jelas dan pasti kebenarannya(‘aqli qat’ie).Pada hujah ini Ibn Taimiyyah tidak menmberikan contoh kepada pengetahuan akal yg ‘aqli qat’ie itu. Mungkin maksudnya adalah pengetahuan akal yang diperoleh secara fitrah, seperti yang dijelaskan dalam Naqd al- Mantiq[9]. Tetapi mungkin juga bermaksud necessary knowledge iaitu pengetahuan yang diperoleh secara tawatur dan yang menjamin pengetahuan secara pasti(‘ilm al- yaqini) secara lafzi atau maknawi. Pengetahuan ini dimiliki dalam kalangan sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in(generasi tiga kurun terawal selepas kewafatan Nabi SAW) sebagai sumber pengetahuan tradisi yang terpercaya[10].


Melaluinya. ta’wil pada pandangan Ibn Taimiyyah difahami dengan merujuk kepada makna yang dikehendaki oleh Allah dan utusanNya, Muhammad SAW. Ta’wil bagi Ibn Taimiyyah terbahagi kepada dua. Pertama, ta’wil yang diperintah kepada manusia untuk berbuat, ta’wil al-talabi, iaitu ta’wil tentang perintah dan larangan(al- amr wa al- nahy). Disini Ibn Taimiyyah menerima kontradiksi antara satu teks dan satu teks yang lain melalui nasikh dan mansukh. Kedua, ta’wil yang disampaikan Allah tentang diriNya, Hari Kiamat dan lain- lain hal yang bersifat ghaibiyyat (perkara ghaib). Ta’wil dalam masalah ini hanya Allah mengetahuinya, manusia hanya dapat mengetahui makna literal teks, hakikat di sebaliknya tidak diketahui. Dalam masalah doktrin, Ibn Taimiyyah tidak melihat kontradiksi teks wahyu seperti dalam ta’wil al- talabi, kontradiksi itu hanya wujud dalam akal orang yang memahami[11].

Barangkali pada prinsip yang ketiga dan bahagian ta’wil al- talabi kita melihat paradoks yang terjadi pada trend neo- salafisme lewat selepas kemunculan gerakan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab. Dalam hal- hal pokok atau prinsip, tiadalah banyak perbezaan besar antara pemikiran Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Taimiyyah. Berikutan tokoh yang bermazhab Hanbali ini banyak terkesan dengan pemikiran Ibn Taimiyyah dalam prinsip aqidah dan ibadah. Paradoks yang dimaksudkan adalah paradoks yang terjadi lewat fatwa- fatwa yang dikeluarkan dalam urusan politik dan sosial kemasharakatan (mu’amalah).

Neo- salafisme adalah aliran kefahaman agama, budaya dan politik yang sempit. Barangkali kita berbeza pendapat dalam pengistilahan neo- salafisme kerana yang dibahaskan adalah spektrum yang berbeza. Ilmuwan yang datang dari tradisi Muhammad bin Abdul Wahab seringkali dirujuk mempunyai sikap kejumudan, kekerasan dan merujuk kepada fiqh yang berpaksikan ide-ide fanatisme.

Fahaman politik neo- salafisme adalah senjata bagi rejim Saudi yang didokongi oleh faham agama Muhammad Abdul Wahab untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Walaupun penubuhan Dinasti Saud adalah dengan kekerasan dan pemberontakan (dan tidak dikatakan HARAM, HARAM dan HARAM oleh para pengikut doktrin agama Muhammad Abdul Wahab), namun untuk mengekalkan kekuasaan mereka yang dianggap sebagai benteng terakhir faham Islam yang sebenar. Mereka mempopularkan doktrin haramnya menegur pemerintah dengan sikap 'pick and choose' terhadap dalil- dalil dan juga pendapat sesetengah ulama salaf tanpa melihat kepada 'illat, maqasid dan juga faktor sosiologi.

Ibaratnya, seorang yang telah memanjat pokok dengan menggunakan tangga, apabila telah sampai ke puncak pokok, ditendangnya tangga agar orang lain tidak boleh memanjat seperti beliau. Malangnya, apabila slogan ittiba' dijadikan modal, dan dikecilkan ruang 'kebenaran', maka golongan yang tidak melihat Islam secara meluas menjadi mangsa.

Contoh yang paling popular adalah bagaimana Ibn Taimiyyah telah mengkritik Raja Tartar melalui fatwanya kerana Raja Tartar yang bernama Qazan itu melakukan kezaliman terhadap rakyatnya dan penyelewengan harta negara[12].

Dalam kes yang lain, hadis yang selalu didendangkan oleh golongan neo- salafisme : “Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang)mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" (sebahagian hadith yang panjang, dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, no. 1847) Ia adalah hadith dha'if. Didhaifkan oleh Imam al-Daraquthni, Imam Muslim sendiri[13], bahkan juga didhaifkan oleh ulama hadith salafi Syaikh Muqbil Hadi al-Wadi'i. Jika kita ingin mencuba membina kaedah atas prinsip yang ketiga tadi, maka nas yang bersifat zhanni seperti ini berlawanan dengan pengetahuan akal yang qat’ie. Pertama, haram melakukan kemudaratan dan membiarkan kemudaratan. Kedua, dalam sistem demokrasi pada hari ini, nas ini tidak terpakai(malah tidak boleh dihujahkan langsung kerana dha’if!) kerana pengetahuan akal yang lebih tepat berdasarkan pengalaman kemanusiaan yg tawatur telah memberitahu kita bahawa manusia merdeka bukan hamba kepada manusia yang lain, manusia mempunyai kemuliaan sebagai insan, kezaliman perlu dilawan. Bahkan wujud riwayat yang banyak yang menunjukkan ramai sahabat dan tabien yang keluar daripada Imam dan menghayunkan pedang untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran dan ada pula yang menyokong serta menolak untuk keluar dari Imam dan menetap di dalam ketaatan.
Misalnya di dalam sejarah juga telah menunjukkan wujud di kalangan sahabat dan tabien yang membantu Abdullah bin Ibnu Zubair ra di dalam menentang Bani Umaiyah[14].

Neo- salafisme menginterpretasikan nas-nas atas kesempitan makna, kejanggalan waqie' dan kekelabuan maqasid. Maka lahirlah fatwa- fatwa taat kepada pemerintah secara membabi buta kerana mengabaikan pemikiran Ibn Taimiyyah secara menyeluruh dalam ta’wil al- talabi dan prinsip ketiga yang dibahaskan tadi.

[1] Plato, Euthypro, 10

[2] Perbahasan tentang masalah akal dan wahyu dalam Islam dibahas oleh A.J. Arberry dalam bukunya, Revelation and Reason in Islam, 1965. Artikel tentang sejarah ringkas ditulis oleh A.S. Tritton dalam “Reason and Revelation dalam Arabic and Islamic Studies in Honor of Hamilton, Gibb, 1965, 619- 630.

[3] Lebih terperinci dalam usaha- usaha penyesuaian ini lihat sejarah ringkas oleh A.J. Arberry dana Reason and Revelation in Islam.

[4] Ibn Rushd tidak saja diperngaruhi oleh pemikiran masharakat yang beranggapan bahawa sains dan falsafah bertentangan dengan agama tetapi juga oleh konflik- konflik yang terjadi antara ahli falsafah dan ilmu agama. Berbeza dari Ibn Rushd, perhatian Ibn Taimiyyah difokuskan kepada pemahaman masharakat tentang Islam yang dalam pandangannnya dirosakkan oleh doktrin Sufism, teologi dam falsafah seperti yang ternampak dalam amalan bid’ah oleh masharakat. Lihat Bello, Iysa A., Medieval Islamic Controversy Between Philosphy and Orthodoxy. Ibn Taimiyyah, Haqiqat Mazhab al- Ittihadiyyah dalam Majmu’at al- Fatawa, Maktabah Dar al- Salam, 2003.

[5] Ibn Sina dalam al- Risalah al- ‘Adawiyyah, al- Gahzali dalam risalah Qanun al- Ta’wil, Ibn Taimiyyah focus kepada Fakhr al- Din ar- Razi dalam kitabnya Asas al- Taqdis fi ‘ilm al- Kalam, dan al- Matalib al- ‘Aliyah.

[6] Ibn Taimiyyah, Dar al- Ta’arud, Maktabah al- Ma’rifah, 1985, 198

[7] Ibid, 170-171

[8] Ibid, 87

[9] Dalam kitab ini menjelaskan fitrah adalah kecenderungan alamiah manusia kepad akebenaran, namun kecenderungan untuk mengikutri kebenaran secara am ini tidak sempurna dan kerana itu fitrah alamiah ini disempurnakan dengan fitrah al- munazzalah iaitu agama yang diwahyukan memeberikan penerangan tentang framework tentang kebenaran secara lebih terperinci. Maka bagi beliau pengetahuan yang diperoleh secara inuitif ini memiliki kebenaran yang sama dengan pengetahuan wahyu. Sebab beliau yakin Allah menciptakan fitrah dalam sebaik- baik kejadian(ahsan al- taqwim), kesesatan hanya disebabkan individu. Maka berasaskan pemahaman ini beliau berpendapat pertentangan akal dan wahyu tidak terjadi. Lihat Naqd al- Mantiq, 39.

[10] Dar al- Ta’arud, 195

[11] Ibid, 206- 230

[12] Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 14/92

[13] Hadis dengan lafaz " تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ - Dengar dan taatlah pada pemerintah walaupun punggung(iaitu belakang) mu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan taatilah" adalah salah satu contoh dari segelintir hadith-hadith mutabaat dan syawahid yang dha'if terkandung dalam Sahih Muslim dan ia telahpun didha'ifkan oleh Imam Muslim sendiri. Mereka yang membaca Sahih Muslim dengan kaca mata ahli hadith sahaja yang akan dapat mengecam bahawa hadith ini telah didha'ifkan oleh Imam Muslim dengan isyarat dalam kitab Sahihnya sendiri. Imam Muslim memasukkan hadith ini bersama-sama hadith semakna yang tiada ziyadah (tambahan lafaz) dalam satu bab, dan hadith tanpa ziyadah disebut dahulu sebelum hadith dengan ziyadah, tujuan beliau lakukan sedemikian rupa ialah sebagai isyarat untuk menjelaskan bahawa ziyadah itu lemah, dan ini adalah antara metod Imam Muslim mendhaifkan sesebuah hadith dalam kitab Sahihnya, demikian juga para huffaz hadith lain semisal al-Bukhari, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban

[14] al-Bidayah wa al-Nihayah, 238.

Sumber: http://utam.net/index.php/component/k2/item/98-fakulti-rasional-ibn-taimiyyah-dan-paradoks-dalam-trend-neo-salafisme

You are here: Artikel View Aliran & Dakwah Fakulti Rasional Ibn Taimiyyah dan Paradoks dalam Trend Neo-Salafisme